Monday, November 23, 2009

Selamat Pengantin Baru

Selamat Pengantin Baru kepada adinda 'Abdul Malik bin Yahya al-Hafiz bersama pasangan Siti Fatimah bt Muhammad al-Hafizah. Moga berbahagia dunia & akhirat.

Syaikh 'Umar bin Muhammad al-Khalidiyy

Shaikh Hj. Umar bin Muhammad adalah salah seorang di antara khalifah tertua kepada Tuan Guru Shaikh Abdul Wahab Babussalam. Shaikh Hj. Umar berasal dari Parit Ju atau Parit Abdul Rahman, Mukim Empat, Batu Pahat, Johor. Sekalipun beliau berasal dari Batu Pahat, Johor, namun datuk nenek beliau adalah berasal dari Pekan,Pahang. Shaikh Hj. Umar telah menerima pelajaran, asuhan dan didikan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dari Shaikh Abdul Wahab sewaktu shaikh tersebut datang ke Batu Pahat, Johor, pada tahun 1888. Shaikh Hj. Umar mula mengajarkan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah dan memimpin suluk tarekat tersebut pada tahun 1910 di kampung Durian Sebatang, Mukim Gali, Raub, Pahang. Tindakan Shaikh Umar tersebut telah mendapat persetujuan, galakan dan sokongan daripada penghulu mukim Gali yang pada masa itu disandang oleh Tengku Kudin bin Tengku Abdul Samad. Shaikh Hj. Umar mempunyai ramai murid termasuklah dari kalangan pegawai agama dan juga orang kenamaan. Murid-murid beliau yang dilantik menjadi khalifah melebihi seratus orang. Setelah hampir tujuh tahun mempelajari serta mengamalkan tarekat dan beberapa kali menjalani suluk di bawah bimbingan dan asuhan guru beliau, Shaikh Hj. Umar bin Muhammad, maka Tuan Hj. Ishaq telah diangkat sebagai khalifah serta diizinkan pula mengajar Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah oleh guru beliau itu pada 22 Zulhijjah, tahun 1353 hijrah (1934) di Surau Suluk Kubu, Durian Sebatang, Raub, Pahang. Pada waktu itu umur beliau adalah lebih kurang 25 tahun. Walau bagaimanapun Shaikh Hj. Umar telah meninggal dunia dua tahun kemudian iaitu pada tahun 1936 (1355 H.) dan jenazah beliau dimakamkan di perkuburan khas Durian Sebatang, Mukim Gali, Raub, Pahang. Tempat Shaikh Hj. Umar sebagai pemimpin Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah telah digantikan oleh anaknya iaitu Imam Luqman bin Hj. Umar. Sehubungan dengan itu sebuah surau suluk telah didirikan di kampung Lepar, mukim Gali, Raub, dengan persetujuan Tengku Abdul Hamid bin Tengku Kudin. Tengku Abdul Hamid adalah merupakan penghulu yang ke empat bagi mukim Gali dan juga ketua kampung Durian Sebatang. Imam Luqman telah memimpin perjalanan Tarekat Naqshabandiyyah di Raub lebih kurang 44 tahun. Imam Luqman kemudiannya meninggal dunia pada tahun 1980 dan tempatnya sebagai pemimpin tarekat dan suluk digantikan oleh anaknya iaitu Tuan Hj. Abdullah bin Luqman dengan dipimpin bersama oleh Tuan Hj. Abdullah Sani bin Abu Uthman iaitu menantu kepada Shaikh Hj. Umar. Selain dari Imam Luqman, terdapat seorang lagi murid serta khalifah kepada Shaikh Hj. Umar yang menggantikan beliau sebagai pemimpin Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah selepas kewafatan beliau itu, iaitu Tuan Hj. Ziyadi bin Hj. Salim. Beliau adalah merupakan kadi daerah Raub yang ke tiga, menggantikan Tuan Hj. Muhammad Arif. Sebelum itu, ayahanda beliau, Tuan Hj. Salim bin Hj. Abdul Manan, juga merupakan seorang kadi di Raub, malah merupakan kadi yang pertama di daerah tersebut. Tuan Hj. Ziyadi ini memimpin suluk di kampung Pintu Padang dan juga kampung Gali Tengah, mukim Gali, Raub. Selepas beliau meninggal dunia, tempat beliau sebagai pemimpin suluk Tarekat Naqshabandiyyah telah diambil alih oleh salah seorang murid beliau iaitu Imam Hj. Tambi. Manakala Tuan Hj. Ishaq pula, setelah hampir 30 tahun selepas beliau diizinkan mengajar Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah oleh guru beliau itu, barulah beliau mula memimpin suluk. Suluk pertama yang dipimpin oleh beliau itu berlaku pada tahun 1964 di surau kampung Ajai, Raub, Pahang. Walau bagaimanapun, selepas kewafatan guru beliau, Shaikh Hj. Umar, beliau telah dibimbing dan diberi tunjuk ajar pula oleh dua orang khalifah Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah yang lain yang juga merupakan murid kepada Shaikh Hj. Umar iaitu Tuan Hj. Muhammad Salih bin Hj. Umar dan Tuan Hj. Abdul Wahab bin Hj. Muhammad Siddiq bin Hj. Salim. Sumber: http://naqshabandiyyah.blogspot.com/2009/10/biografi-shaikh-umar-bin-muhammad-batu.html

Selamat Hari Raya Aidul Adha/ Happy Eidul Adha

Abu Nasih al-Kansariyy dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidul Adha kepada seluruh umat Islam di mana sahaja anda berada/ Abu Nasih al-Kansariyy and family wishing all Muslim wherever you are with Happy Eidul Adha. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar

Wasiat 44 Shaykh Abdul Wahab Rokan asy-Syadziliyy al-Khalidiyy

1.Wasiat yang pertama, hendaklah kamu sekalian masyghul dengan menuntut ilmu Quran dan kitab kepada guru-guru yang mursyid dan rendahkan dirimu kepada guru-guru kamu. Dan perbuat apa-apa yang disuruhkan, jangan bertangguh-tangguh. Dan banyak-banyak bersedekah kepadanya. Dan iktikadkan diri kamu itu hambanya. Dan jika sudah dapat ilmu itu, maka hendaklah kamu ajarkan kepada anak cucuku. Kemudian maka orang yang lain. Dan kasih sayang kamu akan muridmu seperti kasih sayang akan anak cucu kamu. Dan jangan kamu minta upah dan makan gaji sebab mengajar itu. Tetapi pinta upah dan gaji itu kepada Tuhan Yang Esa lagi kaya serta murah, yaitu Allah Ta'ala. 2.Wasiat kedua, apabila sudah kamu baligh, berakal, hendaklah menerima thariqat Syadziliyyah atau thariqat Naqsyabandiyyah, supaya sejalan kamu dengan aku. 3.Wasiat yang ketiga, jangan kamu berniaga sendiri, tetapi hendaklah bersyarikat. Dan jika hendak mencari nafkah, hendaklah dengan jalan tulang gega (dengan tenaga sendiri), seperti berhuma dana berladang dan menjadi amil. Dan didalam mencari nafkah itu maka hendaklah bersedekah pada tiap-tiap hari supaya segera dapat nafkah. Dan jika dapat ringgit sepuluh maka hendaklah sedekahkan satu dan taruh sembilan. Dan jika dapat dua puluh, sedekahkan dua. Dan jika dapat seratus sedekahkan sepuluh, dan taruh sembilan puluh. Dan apabila cukup nafkah kira-kira setahun maka hendaklah berhenti mencari itu dan duduk beramal ibadat hingga tinggal nafkah kira-kira 40 hari, maka barulah mencari. 4.Wasiat yang keempat, maka hendaklah kamu berbanyak sedekah sebilang sehari, istimewa pada malam jum'at dan harinya. Dan sekurang-kurangnya sedekah itu 40 duit pada tiap-tiap hari. Dan lagi hendaklah bersedekah ke Mekah pada tiap-tiap tahun. 5.Wasiat yang kelima, jangan kamu bersahabat dengan orang yang jahil dan orang fasik. Dan jangan bersahabat dengan orang kaya yang bakhil. Tetapi bersahabatlah kamu dengan orang-orang 'alim dan 'ulama dan saleh-saleh. 6.Wasiat keenam, jangan kamu hendak kemegahan dunia dan kebesarannya, seperti hendak menjadi qadhi dan imam dan lainnya, istimewa pula hendak menjadi penghulu-penghulu. Dan lagi jangan hendak menuntut harta benda banyak-banyak. Dan jangan dibanyakkan memakai pakaian yang harus. 7.Wasiat yang ketujuh, jangan kamu menuntut ilmu sihir seperti kuat dan kebal dan pemanis dan lainnya, karena sekalian ilmu ada di dalam Al-Quran dan kitab. 8.Wasiat kedelapan, hendaklah kamu kuat merendahkan diri kepada orang Islam. Dan jangan dengki khianat kepada mereka itu. Dan jangan diambil harta mereka itu melainkan dengan izin syara'. 9.Wasiat kesembilan, jangan kamu menghinakan diri kepada kafir laknatullah serta makan gaji serta mereka itu. Dan jangan bersahabat dengan mereka itu, melainkan sebab uzur syara'. 10.Wasiat kesepuluh, hendaklah kamu kuat menolong orang yang kesempitan sehabis-habis ikhtiar sama ada tolong itu dengan harta benda atau tulang gega, atau bicara atau do'a. Dan lagi apa-apa hajat orang yang dikabarkannya kepada kamu serta dia minta tolong, maka hendaklah sampaikan seboleh-bolehnya. 11.Wasiat yang kesebelas, kekalkan air sembahyang dan puasa tiga hari pada tiap-tiap bulan. 12.Wasiat yang kedua belas, jika ada orang berbuat kebajikan kepada kamu barang apa kebajikan, maka hendaklah kamu balas akan kebajikan itu. 13.Wasiat yang ketiga belas, jika orang dengki khianat kepada kamu, telah dipeliharakan Allah kamu dari padanya, maka hendaklah kamu sabar dan jangan dibalas dan beri nasihat akan dia dengan perkataaan lemah lembut, karena mereka itu orang yang bebal. 14.Wasiat yang keempat belas, jika kamu hendak beristeri, jangan dipinang orang tinggi bangsa seperti anak datuk-datuk. Dan jangan dipinang anak orang kaya-kaya. Tetapi hendaklah pinang anak orang fakir-fakir dan miskin. 15.Wasiat yang kelima belas, jika memakai kamu akan pakaian yang lengkap, maka hendaklah ada didalamnya pakaian yang buruk. Dan yang aulanya yang buruk itu sebelah atas. 16.Wasiat yang keenam belas, jangan disebut kecelaan orang, tetapi hendaklah sembunyikan sehabis-habis sembunyi. 17.Wasiat yang ketujuh belas, hendaklah sebut-sebut kebajikan orang dan kemuliaannya. 18.Wasiat yang kedelapan belas, jika datang orang 'alim dan guru-guru kedalam negeri yang tempat kamu itu, istimewa pula khalifah thariqat Naqsyabandiyyah, maka hendaklah kamu dahulu datang ziarah kepadanya dari pada orang lain serta beri sedekah kepadanya. 19.Wasiat yang kesembilan belas, jika pergi kamu kepada suatu negeri atau dusun dan ada didalam negeri itu orang alim dan guru-guru khususnya khalifah thariqat Naqsyabandiyyah, maka hendaklah kamu ziarah kepadanya kemudian hendaklah membawa sedekah kepadanya. 20.Wasiat yang kedua puluh, jika hendak pergi orang 'alim itu daripada tempat kamu itu atau engkau hendak pergi dari pada tempat itu, maka hendaklah kamu ziarah pula serta memberi sedekah supaya dapat kamu rahmat yang besar. 21.Wasiat yang kedua puluh satu, sekali-kali jangan kamu kahwin dengan janda guru kamu, khususnya guru thariqat. Dan tiada mengapa kahwin dengan anak guru, tetapi hendaklah bersungguh-sungguh membawa adab kepadanya serta jangan engkau wathi akan dia, melainkan kemudian daripada meminta izin. Dan lebihkan olehmu akan dia daripada isterimu yang lain, karena dia anak guru, hal yang boleh dilebihkan. 22.Wasiat yang kedua puluh dua, hendaklah segala kamu yang laki-laki beristeri berbilang-bilang. Dan sekurang-kurangnya dua, dan yang baiknya empat. Dan jika isterimu tiada mengikut hukum, ceraikan, cari yang lain 23.Wasiat yang kedua puluh tiga, hendaklah kamu yang perempuan banyak sabar, jika suami kamu beristeri berbilang-bilang. Janganlah mengikut seperti kelakuan perempuan yang jahil, jika suaminya beristeri berbilang, sangat marahnya, dan jika suaminya berzina tiada marah. 24.Wasiat yang kedua puluh empat, jika ada sanak saudara kamu berhutang atau miskin dan sempit nafkahnya dan kamu lapang nafkah, maka hendaklah kamu beri sedekah sedikit-sedikit seorang supaya sama kamu. Inilah makna kata orang tua-tua, jika kamu kaya maka hendaklah bawa sanak saudara kamu kaya pula, dan jika kamu senang, maka hendaklah berikan senang kamu itu kepada sanak saudara kamu. 25.Wasiat yang kedua puluh lima, mana-mana sanak saudara kamu yang beroleh martabat dan kesenangan, maka hendaklah kamu kuat-kuat mendo'akannya supaya boleh kamu bernaung dibawah martabatnya. 26.Wasiat yang kedua puluh enam, hendaklah kasih akan anak-anak dan sayang akan fakir miskin dan hormat akan orang tua-tua. 27.Wasiat kedua puluh tujuh, apabila kamu tidur, hendaklah padamkan pelita, jangan dibiarkan terpasang, karena sangat makruh, sebab demikian itu kelakuan kafir Yahudi. 28.Wasiat yang kedua puluh delapan, jika kamu hendak berpergian, maka hendaklah ziarah kepada ibu bapa dan kepada guru-guru dan orang saleh-saleh. Minta izin kepada mereka itu serta minta tolong do'akan,dan lagi hendaklah mengeluarkan sedekah supaya dapat lapang. 29.Wasiat yang kedua puluh sembilan, jangan berasah gigi laki-laki dan perempuan. Dan jangan bertindik telinga jika perempuan, karena yang demikian itu pekerjaan jahiliah. 30.Wasiat yang ketiga puluh, jangan kuat kasih akan dunia, hanya sekedar hajat. Siapa kuat kasih akan dunia banyak susah badannya dan percintaan hatinya dan sempit dadanya. Siapa benci akan dunia, sentosa badannya dan senang hatinya dan lapang dadanya. 31.Wasiat yang ketiga puluh satu, hendaklah kasih sayang akan ibu bapa seperti diikut apa kata-katanya dan membuat kebajikan kepada keduanya sehabis-habis ikhtiar. Dan jangan durhaka pada keduanya, seperti tiada mengikut perintah keduanya dan kasar perkataan kepada keduanya dan tiada terbawa adabnya. 32.Wasiat yang ketiga puluh dua, jika mati kedua ibu bapa kamu atau salah seorang, maka hendaklah kamu kuat-kuat mendoakannya pada tiap-tiap sembahyang dan \ziarah pada kuburnya pada tiap-tiap hari Jumaat. 33.Wasiat yang ketiga puluh tiga, hendaklah kuat membuat kebajikan serta dengan yakin kepada guru-guru dan jangan durhaka kepadanya. 34.Wasiat yang ketiga puluh empat, hendaklah berkasih-kasihan dengan orang sekampung dan jika kafir sekalipun dan jangan berbantah-bantah dan berkelahi dengan mereka itu. 35.Wasiat yang ketiga puluh lima, jangan diberi hati kamu mencintai akan maksiat, ertinya membuat kejahatan, karena yang demikian itu percintaan hati. Dan jika banyak percintaan hati, membawa kepada kurus badan. 36.Wasiat yang ketiga puluh enam, jangan kamu jabatkan tangan kamu kepada apa-apa yang haram, karena yang demikian itu mendatangkan bala. 37.Wasiat yang ketiga puluh tujuh, jika datang bala dan cobaan, maka hendaklah mandi taubat, mengambil air sembahyang, dan meminta do'a kepada Allah Ta'ala. Dan banyak-banyak bersedekah kepada fakir dan miskin dan minta tolong do'akan kepada guru-guru dan shalih-shalih karena mereka itu kekasih Allah Ta'ala. 38.Wasiat yang ketiga puluh delapan, apabila hampir bulan Ramadhan, maka hendaklah selesaikan pekerjaan dunia supaya senang beramal ibadat di dalam bulan Ramadhan dan jangan berusaha dan berniaga di dalam bulan Ramadhan, tetapi hendaklah bersungguh-sungguh beramal dan ibadat dan membuat kebajikan siang dan malam, khususnya bertadarus Quran dan bersuluk. 39.Wasiat yang ketiga puluh sembilan, hendaklah kuat bangun pada waktu sahur, beramal ibadat dan meminta doa , karena waktu itu tempat doa yang makbul, khususnya waktu sahur malam Jumaat. 40.Wasiat yang ke empat puluh, hendaklah kuat mendoakan orang Islam, sama ada hidup atau mati. 41.Wasiat yang keempat puluh satu, apabila bertambah-tambah harta benda kamu dan bertambah-tambah pangkat derjat kamu, tetapi amal ibadat kamu kurang, maka jangan sekali-kali kamu suka akan yang demikian itu, karena demikian itu kehendak syaitan dan iblis dan lagi apa faedah harta bertambah-tambah dan umur berkurang-kurang. 42.Wasiat yang keempat puluh dua, maka hendaklah kamu iktikadkan dengan hati kamu, bahwasanya Allah Ta'ala ada hampir kamu dengan tiada bercerai-cerai siang dan malam. Maka Dia melihat apa-apa pekerjaan kamu lahir dan batin. Maka janganlah kamu berbuat durhaka kepadaNya sedikit jua, karena Ia senantiasa melihat juga tetapi hendaklah senantiasa kamu memohonkan keredhaanNya lahir dan batin. Dan lazimkan olehmu iktikad ini supaya dapat jannatul 'ajilah. 43.Wasiat yang keempat puluh tiga, maka hendaklah kamu ingat bahwa malakul maut datang kepada setiap seorang lima kali dalam sehari semalam, mengabarkan akan kamu bahwa aku akan mengambil nyawa kamu, maka hendaklah kamu ingat apabila sudah sembahyang tiada sampai nyawa kamu kepada sembahyang kedua, demikian selama-lamanya. 44.Wasiat yang keempat puluh empat, hendaklah kamu kuat mendo'akan hamba yang dha'if ini dan sekurang-kurangnya kamu hadiahkan kepada hamba pada tiap-tiap malam Jumaat dibaca fatihah sekali dan Qul Huwallahu Ahad sebelas kali, atau Yasin sekali pada tiap-tiap malam Jumaat atau ayatul Kursi 7 kali dan aku mendoakan pula kepada kamu sekalian. sumber:http://naqshabandiyyah.blogspot.com/2009/10/wasiat-shaikh-abdul-wahab-babusalam.html

Tuesday, November 10, 2009

Dialog Antara Atheist dan Imam Abu Hanifah

Seorang atheist atau mulhid telah berjaya mengalahkan ramai ulama' dengan pertanyaan tentang Allah tidak bertempat. Sehingga sampai giliran guru Imam Abu Hanifah, Hammad. Guru beliau amat risau menghadapi dialog itu. Namun Abu Hanifah menenangkan Hammad dan menyatakan beliau akan berhujah dengan mulhid tersebut. Ikuti kisah penuh ini di pautan berikut: http://www.scribd.com/doc/22303455/Dialog-Dahri-Dan-Abu-Hanifah

Sunday, November 1, 2009

Nasih, 4 bulan, "membaca" buku

Didiklah anak membaca sedari kecil, moga budaya membaca akan menjadikan anak kita ilmuwan berguna kepada diri sendiri, masyarakat, negara dan agama.