Tuesday, May 25, 2010

Pengurusan Marah: Perspektif Islam (Bah. 1A)

Marah menurut Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazzaliyy adalah elemen yang terdapat dalam hati manusia. Marah menurut al-Ghazzaliyy ibarat api dalam sekam. (al-Ghazzaliyy, Abu Hamid, al-Imam, 2003). Kemarahan dikenali umum sebagai aspek negatif, namun Islam mempunyai pandangan khusus tentang elemen marah ini. Kamus Dewan (Edisi Ketiga, 2002) menakrifkan marah sebagai berasa panas hati (kerana ditipu, dihina dan lain-lain), perasaan panas hati, berang, gusar dan murka. Tetapi perkataan murka di dalam kebudayaan Melayu biasanya dirujuk kepada kemarahan Allah , para Nabi a.s, dan juga Sultan. Concise Oxford Dictionary (1995) memberi definisi marah (anger) sebagai perasaan kurang senang yang melampau. Marah atau Ghadab (غَضَبٌ) dalam Bahasa ՙArab adalah (sifat) yang berlawanan dengan reda. (Lisan al- ՙArab, 1999) Ibnu Qayyim membuat penakrifan, marah adalah kehilangan pertimbangan akal, (seolah-olah) mahu membunuh seperti keadaan serigala yang ingin membunuh kambing. (al-Jawziyyah, Ibnu Qayyim, 2002) Apa pun definisi, marah adalah sifat yang diberi oleh Allah kepada makhluknya, Ibnu Manzur memetik ulasan seorang ՙulama’ mengenai marah: Marah sebahagian daripada makhluk, ia adalah sesuatu yang menyerap di dalam hati, ada yang mahmud (terpuji) ada yang madzmum (tercela); tercela (apabila) bukan pada tempatnya, manakala yang terpuji (apabila digunakan) di sisi agama dan kebenaran. (Lisan al-ՙArab, 1999)

Wednesday, May 12, 2010

Hikam 1

مِن عَلاَمَاتِ الإِعتِمَادِ عَلَى العَمَلِ نُقصَانِ الرَّجَاءِ عِندَ وُجُودِ الزَّلَلِ Daripada tanda seseorang itu bersandar pada kekuatan amal ialah berkurangnya harapan (kepada rahmat Allah) ketika berlakunya dosa/ kesalahan. Hikam Syaikh Ibn 'Ataillah al-Iskandariyy