Sunday, June 6, 2010

Hikmah 2

إِرَادَتُكَ التَّجرِيدَ مَعَ اِقَامَةِ اللهِ اَيَّاكَ فيِ الاَسبَابِ مِنَ الشَّهوَةِ الخَفِيَّةِ. وَإِرَادَتُكَ الأَسبَابَ مَعَ اِقَامَةِ اللهِ اِيَّاكَ فيِ التَّجرِيدِ اِنحِطَاطٌ مِنَ الهِمَّةِ العَلِيَّةِ
Keinginanmu untuk bertajrid (beribadat semata-mata tanpa berusaha untuk keperluan harian duniawi), sedangkan Allah menempatkanmu dalam golongan dalam maqam asbab (perlu berusaha untuk keperluan harian); adalah daripada keinginan syahwat yang tersembunyi. Sebaliknya, keinginanmu berusaha (untuk keperluan harian duniawi), sedangkan Allah menempatkanmu dalam golongan dalam maqam tajrid (perlu berusaha untuk keperluan harian); adalah menurun dari himmah (semangat dan tingkatan maqam) yang tinggi
Hikam Ibnu 'Ato'illah

Friday, June 4, 2010

Pengurusan Marah: Perspektif Islam (Bah. 1B)

Kemurkaan Allah adalah yang paling hebat, mengatasi setiap kemarahan yang ada di dunia ini. Al-Quran kerap kali merekodkan kemurkaan Allah secara jelas. Namun kemurkaan Allah hanya ditujukan kepada orang yang ingkar denganNya. Antara golongan yang dimurkai Allah secara khusus adalah bangsa Isra′il. Contohnya seperti firman berikut: ... dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mu՚ jizat- mu՚ jizat yang membuktikan kebesaranNya); dan mereka pula membunuh Nabi-nabi Dengan tidak ada alasan Yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh. (al-Quran. al-Baqarah 2: 61) Namun rahmat dan keampunan Allah adalah lebih luas dari kemurkaanNya. Firman Allah: dan bagi Allah jualah Segala Yang ada di langit dan Yang ada di bumi. ia mengampunkan sesiapa Yang dikehendakiNya, dan Dia menyeksa sesiapa Yang dikehendakiNya. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Quran. Ali ՙImran 2: 61) Rasulullah juga diriwayatkan pernah marah beberapa kali. Sebagai perhatian hadith berikut boleh dijadikan sebagai contoh: Daripada ՙAli berkata: Rasulullah telah memberi hadiah kepadaku pakaian sutera maka aku memakainya, maka aku melihat kemarahan di wajahnya, maka aku memotongnya (sutera) lalu membahagikannya di kalangan isteri-isteriku. (Hadith riwayat al-Bukhariyy) Dalam beberapa hadith Rasulullah melarang kemarahan. Tetapi dalam hadith-hadith lain pula Rasulullah sendiri pernah marah seperti hadith ՙAli yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhariyy di atas. Ini sebenarnya menunjukkan kemarahan Rasulullah terhadap tindakan yang menyalahi syara՚. Hadith ini menggambarkan Rasulullah tidak marah atas sebab peribadinya, inilah keunggulan akhlaq Baginda. Al-Ustadz ՙAbdur Rahman Hasan Habannakah juga berpendapat sedemikian. (al-Maidaniyy, Abdur Rahman Hasan Habannakah, 1999) Akhlaq dan sikap terpuji Rasulullah lebih menonjol apabila baginda bersabda: Daripada ՙA′isyah r.a: (Rasulullah) bersabda: dan aku bersumpah demi Allah sekiranya Fatimah binti Muhammad telah mencuri, akan kupotong tangannya. (Hadith riwayat al-Bukhariyy) Walaupun baginda amat menyayangi Saiditina Fatimah r.a, sehingga baginda pernah memberi amaran supaya tidak menyakiti hati Saiditina Fatimah dengan sabdanya: Daripada Miswar bin Makhramah r.a berkata, berkata Rasulullah: Fatimah sebahagian dariku, maka sesiapa yang membuatnya marah, membuatkan aku marah. (Hadith riwayat al-Bukhariyy) Namun begitu apabila bertembung dengan syariՙah, tiada kompromi ditunjukkan Rasulullah. Teladan Nabawiyyah yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah, memberi tasawwur yang jelas bahawa elemen marah bukanlah 100% negatif atau madzmum. Kemarahan ada yang positif dan negatif, malahan boleh menjadi aspek kekuatan pada situasi tertentu (akan diperjelaskan kelak).