Salam Ukhuwwah Assalamu'alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh. Tetamu budiman, anda dijemput untuk menghantar artikel berkaitan Tasawwuf & tariqah, isu-isu Islam dan komen. Dear guests, you are invited to send articles on Tasawwuf (Sufism), Sufi Orders, Islamic issues and comments. hanit_osman@hotmail.com
Sunday, March 28, 2010
Syeikh Abdul Wahhab Rokan-Mursyid tarekat yang berwibawa
BABUSSALAM, Langkat, Sumatera Timur adalah merupakan pusat penyebaran Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah yang terbesar di Sumatera sesudah aktiviti Syeikh Ismail bin Abdullah al- Minankabawi. Mursyid Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah di Babussalam tersebut pada satu ketika sangat terkenal hingga ke Semenanjung Tanah Melayu terutama Johor dan Singapura. Namanya ketika kecil ``Abul Qasim'', digelar juga dengan ``Faqih Muhammad''. Nama lengkap Syeikh Abdul Wahhab bin `Abdul Manaf bin Muhammad Yasin bin Maulana Tuanku Haji Abdullah Tembusai. Lahir 10 Rabiulakhir 1242 H/11 November 1826 M). Wafat di Babussalam, Langkat, pada hari Jumaat, 21 Jamadilawal 1345 H/26 Disember 1926 M. Moyangnya Maulana Tuanku Haji Abdullah Tembusai adalah seorang ulama besar dan golongan raja-raja yang sangat berpengaruh pada zamannya.
PENDIDIKAN
Selain pendidikan dari lingkungan keluarga sendiri Abdul Wahhab belajar kepada Tuan Guru Haji Abdul Halim di Tembusai. Dalam 1846 M - 1848 M Abdul Wahhab merantau ke Semenanjung, pernah tinggal di Johor dan Melaka. Dalam tempoh lebih kurang dua tahun itu digunakannya kesempatan mengajar dan belajar. Di antara gurunya ketika berada di Malaya (Malaysia Barat) ialah Tuan Guru Syeikh Muhammad Yusuf seorang ulama yang berasal dari Minangkabau. Masih dalam tahun 1848 itu juga Abdul Wahhab meneruskan pengembaraannya menuju ke Mekah dan belajar di sana hingga tahun 1854 M. Di antara gurunya sewaktu di Mekah ialah Syeikh Muhammad Yunus bin Syeikh Abdur Rahman Batu Bara, Asahan, dan lain-lain. Pelajaran tasawuf khusus mengenai Thariqat Naqsyabandiyah Abdul Wahhab dididik oleh seorang ulama besar yang cukup terkenal, beliau ialah Syeikh Sulaiman Zuhdi di Jabal Abi Qubis, Mekah.
PULANG DAN AKTIVITI
Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan pulang ke tanah air dalam tahun 1854 M dan dalam tahun itu juga mengajar di Tanjung Mesjid, daerah Kubu Bagan Siapi-api, Riau. Dalam tahun 1856 M beliau juga mengajar di Sungai Mesjid, daerah Dumai, Riau. Selanjutnya mengajar di Kualuh, wilayah Labuhan Batu tahun 1860 M. Mengajar di Tanjung Pura, Langkat tahun 1865 M. Mengajar di Gebang tahun 1882 M, dan dalam tahun itu juga berpindah ke Babussalam, Padang Tualang, Langkat. Di Babussalamlah dijadikan sebagai pusat seluruh aktiviti, sebagai pusat tarbiyah zhahiriyah, tarbiyah ruhaniyah dan dakwah membina umat semata-mata mengabdi kepada Allah s.w.t.
Sungguh pun demikian Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan tidak mengabaikan perjuangan duniawi kerana beliau bersama-sama dengan Sultan Zainal Abidin, Sultan Kerajaan Rokan dan Haji Abdul Muthallib, Mufti Kerajaan Rokan pernah mengasaskan ``Persatuan Rokan''. ``Persatuan Rokan'' bertujuan secara umumnya adalah untuk kemaslahatan dan kebajikan Rokan. Walau bagaimana pun tujuan utamanya adalah perjuangan kemerdekaan untuk melepaskan Kerajaan Rokan dari penjajahan Belanda. Pembahagian kerja ``Persatuan Rokan'' ialah Sultan Zainal Abidin sebagai pelaksana segala urusan luar negeri. Haji Abdul Muthallib menjalankan pekerjaan-pekerjaan dalam negeri dan Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab sebagai menerapkan pendidikan memberi semangat pada masyarakat.
PERKAMPUNGAN BABUSSALAM
Dalam tarikh 12 Syawal 1300 H/12 Ogos 1883 M Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan bersama 160 orang pengikutnya dengan menggunakan 13 buah perahu memudiki Sungai Serangan menuju perkampungan peribadatan dengan undang-undang atau peraturannya tersendiri yang dinamakan Babussalam. Pendidikan mengenai keislaman diterapkan setiap hari dan malam, sembahyang berjemaah tidak sekali-kali diabaikan. Tilawah al-Quran, selawat, zikir, terutama zikir menurut kaedah Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah dan lain-lain sejenisnya semuanya dikerjakan dengan teratur di bawah bimbingan ``Syeikh Mursyid'' dan ``khalifah-khalifah''nya. ``Syeikh Mursyid'' adalah Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan sendiri. ``Khalifah'' ada beberapa orang, pada satu ketika di antara ``khalifah'' terdapat salah seorang yang berasal dari Kelantan. Beliau ialah khalifah Haji Abdul Hamid, yang masih ada kaitan kekeluargaan dengan Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani.
Pada tahun 1342 H/1923 M Asisten Residen Belanda bersama Sultan Langkat menyematkan ``Bintang Emas'' untuk Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan. Wakil pemerintah Belanda menyampaikan pidatonya pada upacara penyematan bintang itu, ``Adalah Tuan Syeikh seorang yang banyak jasa mengajar agama Islam dan mempunyai murid yang banyak di Sumatera dan Semenanjung dan lainnya, dari itu kerajaan Belanda menghadiahkan sebuah ``Bintang Emas'' kepada Tuan Syeikh. Seorang sufi sebagai Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan penyematan bintang seperti itu bukanlah merupakan kebanggaan baginya, mungkin sebaliknya bahawa bisa saja ada maksud-maksud tertentu daripada pihak penjajah Belanda untuk memperalatkan beliau untuk kepentingan kaum penjajah yang sangat licik itu. Oleh itu, dengan tegas Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan berkata ketika itu juga, ``Jika saya dipandang seorang yang banyak jasa, maka sampaikanlah pesan (amanah) saya kepada Raja Belanda supaya ia masuk Islam.''
KARYA
Tidak banyak diketahui hasil penulisan Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan. Setakat ini yang dapat dikesan ialah:
1. Munajat, merupakan kumpulan puji-pujian dan pelbagai doa.
2. Syair Burung Garuda, merupakan pendidikan dan bimbingan remaja .
3. Wasiat, merupakan pelajaran adab murid terhadap guru, akhlak, dan 41 jenis wasiat.
Petikan 41 wasiat yang dimaksudkan beliau antaranya; Wasiat yang pertama, ``Hendaklah kamu sekalian masyghul dengan menuntut ilmu Quran dan kitab kepada guru-guru yang mursyid. Dan hinakan diri kamu kepada guru kamu dan perbuat apa-apa yang disuruhnya. Jangan bertangguh. Dan banyak-banyak bersedekah kepadanya. Dan seolah-olah diri kamu itu hambanya. Dan jika sudah dapat ilmu itu maka hendaklah kamu ajarkan kepada anak cucu, kemudian kepada orang lain. Dan kasih sayang kamu akan muridmu seperti kasih sayang akan cucu kamu. Dan jangan kamu minta upah dan makan gaji sebab mengajar itu, tetapi minta upah dan gaji itu kepada Tuhan Esa lagi Kaya Murah, iaitu Allah Ta'ala.''
Wasiat yang kedua, ``Apabila kamu sudah baligh hendaklah menerima Thariqat Syaziliyah atau Thariqat Naqsyabandiyah supaya sejalan kamu dengan aku. ``Wasiat yang kedua ini jelas bahawa Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan sangat menekankan amalan tarekat. Mengenai ini juga ada hujah-hujah yang kuat di kalangan penganut-penganut sufi, walau pun ada golongan yang tidak sependapat dengan yang demikian itu. Pada pandangan saya mempertikaikannya adalah merupakan pekerjaan yang sia-sia, kerana bermujadalah adalah termasuk salah satu sifat mazmumah (dicela) oleh syarak Islam.
Wasiat yang ketiga, ``Jangan kamu berniaga - maksudnya jika terdapat penipuan atau pun riba. Jika hendak mencari nafkah hendaklah dengan tulang empat kerat seperti berhuma dan berladang dan menjadi amil (orang yang bekerja, pen:). Dan di dalam mencari nafkah itu hendaklah bersedekah tiap-tiap hari supaya segera dapat nafkah. Dan jika dapat ringgit sepuluh, maka hendaklah sedekahkan satu dan taruh sembilan. Dan jika dapat dua puluh, sedekahkan dua. Dan jika dapat seratus, sedekahkan sepuluh dan taruh sembilan puluh. Dan apabila cukup nafkah kira-kira setahun maka hendaklah berhenti mencari itu dan duduk beramal ibadat hingga tinggal nafkah kira-kira empat puluh hari maka boleh mencari.''
Wasiat yang keempat, ``Maka hendaklah kamu berbanyak-banyak sedekah sebilang hari istimewa pada malam Jumaat dan harinya. Dan sekurang-kurang sedekah itu empat puluh duit pada tiap-tiap hari. Dan lagi hendaklah bersedekah ke Mekah pada tiap-tiap tahun.''
Wasiat yang kelima, ``Jangan kamu bersahabat dengan orang yang jahil dan orang fasik. Dan jangan bersahabat dengan orang kaya yang bakhil. Tetapi bersahabatlah kamu dengan orang
alim-alim dan ulama-ulama dan salih-salih.''
* Wasiat yang keenam, ``Jangan kamu hendak kemegahan dunia dan kebesarannya seperti hendak menjadi kadi, imam dan lain-lainnya istimewa pula hendak jadi penghulu-penghulu dan lagi jangan hendak menuntut harta benda banyak-banyak. Dan jangan dibanyakkan memakai pakaian yang halus.''
Wasiat yang ketujuh, ``Jangan kamu menuntut ilmu sihir seperti kuat, dan kebal dan pemanis serta lainnya kerana sekalian ilmu telah ada di dalam al-Quran dan kitab.''
Wasiat yang kelapan, ``Hendaklah kamu kuat menghinakan diri kepada orang Islam, dan jangan dengki khianat kepada mereka itu. Dan jangan diambil harta mereka itu melainkan dengan izin syarak.''
Demikianlah 8 wasiat yang dipetik dari 41 wasiat Syeikh Abdul Wahhab Rokan, semuanya masih perlu perbahasan atau pentafsiran yang panjang. Kerana jika tidak ditafsirkan kemungkinan orang-orang yang berada di luar lingkungan sufi akan beranggapan bahawa wasiat beliau itu sebagai penghalang terhadap kemajuan dunia moden. Sebelum anda sempat mengikuti pentafsirannya, saya berpendapat bahawa jalan menuju takwa kepada Allah sekali-kali adalah tidak menghalang kemajuan dunia moden jika kemajuan itu tidak bertentangan dengan perintah Allah dan Rasul-Nya.
MURID
Murid Syeikh Abdul Wahhab Rokan sangat ramai: Di antara muridnya yang dianggap mursyid dan khalifah dan yang sangat giat menyebarkan Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah di Batu Pahat, Johor ialah Syeikh Umar bin Haji Muhammad al-Khalidi. Muridnya yang lain ialah Syeikh Muhammad Nur Sumatera. Murid Syeikh Muhammad Nur Sumatera ialah Haji Yahya Laksamana al-Khalidi an-Naqsyabandi, Rambah, Sumatera. Beliau ini adalah penyusun buku berjudul Risalah
Thariqat Naqsyabandiyah Jalan Ma'rifah, cetakan pertama tahun 1976 di Malaysia, diterbitkan oleh pengarangnya sendiri.
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH.Syeikh Abdul Wahhab Rokan-Mursyid tarekat yang berwibawa. 4 Feruari 2005.Utusan Malaysia
Mujahadah
Maulana Ashraf Ali Thanvi menyatakan Mujāhadah adalah kunci kepada ibadah, Syari'ah dan jiwa agama atau ad-Din itu sendiri. Menurutnya lagi keseluruhan ad-Din kita ini adalah berdasarkan Mujāhadah.
المجاهدُ من جاهدَ من نفسِهِ في طاعةِ الله
“Mujahid adalah sesiapa yang berusaha dengan dirinya dalam mentaati Allah” (riwayat Baihaqi)
Imām al-Ghazālī dalam Ihyā’ menyatakan Mujāhadah ialah usaha seseorang untuk menguasai jiwa atau nafsunya (supaya terarah kepada kebaikan) atau melawan kehendak nafsu itu sendiri.
Contoh terbaik Mujāhadah adalah Mujāhadah Rasulullah sendiri. Walaupun baginda telah terjamin hidupnya di dunia dan akhirat tetapi baginda tetap berusaha memperbanyakkan ibadah. Dari Ummul Mukminin 'Ā‘isyah Rasulullah solat ketika Qiyāmullail sehingga bengkak kakinya, lalu 'Ā‘isyah bertanya kepada baginda kenapa perlu berbuat demikian sedangkan Allah sentiasa mengampunkannya, Rasulullah bersabda: (Hadis riwayat Bukhārī dan Muslim)
أفلا أكون عبداً شكوراً
“Bukankah aku merupakan seorang hamba yang bersyukur”
Mujāhadah Rasulullah adalah sentiasa membaiki ibadat dan hubungannya dengan Allah bukan untuk mengubah sikapnya kerana baginda adalah Insān Kāmil dari segala aspek. Manakala dalam konteks kita sebagai individu awam Muslim, Mujāhadah ini melibatkan usaha memperbaiki jiwa supaya tunduk & taat kepada Allah sesuai dengan status kita sebagai hambanya.
Mujāhadah dalam tazkirah ini melibatkan dua aspek, pertama Mujāhadah mengubah atau memperbaiki sikap dan jiwa yang negatif. Kedua, selain dari ibadat wajib, usaha menambah amalan dengan ibadat sunat.
Dalam Mujāhadah aspek pertama, asasnya adalah melawan kehendak nafsu yang negatif dan hasutan syaitan. Kita juga seharusnya memohon rahmat Allah supaya dapat mengatasi kelemahan manusiawi dalam menguasai dan mengawal nafsu atau jiwa. Firman Allah (Yūsuf 12: 53):
...إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ، إِلاَّ مَا رَحِمَ رَبِّي، إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَحِيمٌ
“Sesungguhnya nafsu )Ammārah( itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali (nafsu) yang dirahmati Tuhanku, sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun dan Maha Mengasihani”
Syaitan juga adalah elemen terpenting yang merangsangkan jiwa atau nafsu untuk melakukan dosa. Syaitan penuh dengan tipu daya yang halus untuk menyesatkan anak Adam. Setiap perkara di dunia ini boleh dimanipulasi oleh syaitan untuk menjadi senjata mengoda manusia. Contohnya kekayaan, kepapaan, dan hiburan. Malahan ilmu juga dijadikan senjata syaitan untuk menghasut seseorang menjadi bongkak dan sombong (dengan ilmunya). Oleh itulah Ibnu Qayyim menyatakan sememangnya sukar untuk melindungi diri dari godaan syaitan. Untuk melindungi diri daripada godaan syaitan kita hendaklah menetapkan pendirian bahawa syaitan adalah musuh kita, musuh Allah dan manusia. Jadi dengan itu kita akan berjaga-jaga dan berhati-hati dengan tindak-tanduknya.
...وَلاَ تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ، إِنَّهُ, لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
“...dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang nyata bagi kamu.”
(al-Quran. al-Baqarah 2: 168)
Kita juga perlu banyak memohon perlindungan daripada Allah, firmanNya:
وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
“Dan jika engkau dihasut oleh Syaitan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(al-Quran. al-A'rāf 7: 200)
Tentang pencegahan dari godaan syaitan Imām al-Ghazālī juga berkata:
“Dan manakala (untuk menangani) syaitan pula, cukup bagimu dari apa yang difirmankan oleh Allah Taʿāla kepada NabiNya Muhammad :
وَقُلْ رَبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ. وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَنْ يَحْضُرُونِ
(Dan katakanlah (wahai Muhammad): Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan. Dan aku berlindung kepadaMu, Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku.) Mukminūn 23: 77-79”
Selain dari perintah memohon perlindungan kepada Allah; pengajaran jelas dari ayat al-Quran di atas adalah betapa pentingnya berhati-hati dengan hasutan dan godaan syaitan. Rasulullah sendiri diarahkan untuk memohon perlindungan dari Allah, apatah lagi kita sebagai manusia biasa.
Aspek kedua Mujāhadah, menambah ibadat sunat selain dari sentiasa menjaga ibadat fardhu. Contoh ibadat sunat adalah seperti sembahyang sunat, Qiyāmullayl, puasa sunat, membaca al-Quran dan zikir. Ibadat-ibadat sunat ini akan menambah kekuatan jiwa seseorang Muslim. Contoh yang dipaparkan oleh Rasulullah adalah terbaik. Dalam kesibukannya memimpin, berdakwah dan berjihad, baginda tidak meninggalkan istighfār, puasa sunat dan Qiyāmullayl. Apa yang lebih mengagumkan baginda tetap melakukan pelbagai ibadat sunat tersebut walaupun kedudukannya telah pun terjamin di sisi Allah.
Ada ulama’ lampau yang bersembahyang sunat sehingga 1000 rakaat sehari, tidur sangat sedikit, dan banyak berpuasa. Walau bagaimana pun, Imām Ghazālī menasihatkan supaya tidak terikut-ikut dengan amalan ulama salaf ini. (Baqarah 2: 286 & al-Hajj 22:78)
لا يكلف الله نفسا الا وسعها
"Allah tidak membebani seseorang melainkan yang terdaya olehnya"
وَمَا جَعَلَ عَلَيكُم فِي الدِّينِ مِن حَرَجَ
"…dan Allah tidak menjadikan agama suatu kesusahan"
Perlu ada kesederhanaan dalam Mujāhadah, ikut kemampuan diri, amalan yang dibuat oleh ulama' terdahulu ini sesuai dengan keupayaan mereka dan sudah tentu tidak semestinya sesuai dengan keupayaan kita.
Apa yang lebih penting adalah intipati pengajaran dan konsep hidup mereka, iaitu bersungguh-sungguh memperbaiki kualiti ibadat & kehambaan kepada & kerana Allah. Ibadat sunat juga hendaklah diamalkan tanpa mengabaikan hak diri sendiri dan orang lain, seperti keperluan nafkah hidup dan tanggungjawab kerja.
إن للهَ عليك حقاًّ، وإنّ لنفسك عليك حقاًّ، وإنّ لأهلك حقاًّ، فاعط كلَّ ذي حقٍّ حقِّه.
“Sesungguhnya Allah mempunyai hak ke atas dirimu, dan sesungguhnya kamu mempunyai hak ke atas dirimu dan ahlimu (keluarga) mempunyai hak ke atas dirimu, maka berikanlah hak-hak kepada mereka yang berhak.” (Hadis riwayat Bukhārī dan Muslim)
Rasa Hormat Ibnu Taimiyah terhadap Tokoh Sufi
Ibnu Taimiyah berkata dalam satu kitabnya (Tauhid Rububiyyah: Kaum sufi & ahli salaf itu jurubicara kebenaran yang diutuskan Allah kepada kaumnya seperti Sa'id bin Musayyyab, Hasan al-Basriyy, Umar 'Abdul 'Aziz, Malik bin Anas, al-Awza'ie, Ibrahim bin Adham, Sufyan ath-Thawriyy, Fudhail bin 'Iyadh, Ma'ruf al-Kharkhiyy, asy-Syafi'ie, Abu Sulaiman ad-Daraniyy, Ahmad bin Hanbal, Bisyr al-Hafiyy, 'Abdullah bin al-Mubarak, Syaqiq al-Balkhiyy dan para ulama' yang hidup selepas itu: al-Junaid bin Muhammad al-Qawarairiyy, Sahl bin 'Abdullah at-Tisrariyy, 'Umar bin 'Usman al-Makkiyy, Abu Thalib al-Makkiyy, Syaikh 'Abdul Qadir al-Jilaniyy, Syaikh Adi bin Musafir, Syaikh Abu al-Bayan ad-Dimasyqiyy, Syaikh Abu Madyan, Syaikh 'Uqail, Syaikh Abul Wafa', Syaikh Ruslan, Syaikh Abdur Rahim, Syaikh 'Abdullah al-Yunainiyy dan Syaikh al-Qursyi.
Rujukan: Dr. Thiblawiy Mahmud Sa'ad. 2004. Tasauf Menurut Ibnu Taimiyah. Ahmad Fauzi hamid (penterj.). Kuala Lumpur: Darul Nu'man
MISSIONARI DAN DA՚WAH: PENGENALAN RINGKAS
Islam dan Kristian, kedua-dua agama ini mempunyai konsep tersendiri, prinsip-prinsip, dan metod tersendiri untuk menarik minat masyarakat. Walaubagaimana pun di banyak tempat dan suasana mereka nampaknya saling bersaing malah bermusuhan demi mendapatkan pengikut. Isu ini membawa penulis untuk menyelam konsep penyebaran, prinsip-prinsip dan metodologi kedua-dua agama terbesar dunia ini. Penulis percaya beberapa konsep, prinsip-prinsip dan metodologi inilah yang membawa kepada pertembungan antara kedua-duanya.
Pada tahun 2001 Kristian merangkumi lebih kurang 2 billion penganut seluruh dunia. Selepas bertahun misi penyebaran, Krisitian tidak lagi menjadi agama ekslusif barat. Pada tahun 2009, dianggarkan bilangan penganut Kristian adalah seramai 2.2 billion. Komuniti mereka mewakili 32.3% dari keseluruhan penduduk dunia. Berdasarkan statistik CIA, Kristian menjadi agama dominan sekurang-kurangnya di 142 negara. Walaupun terdapat penganutnya di beberapa buah negara seperti Saint Martin, tetapi tiada angka rasmi dikeluarkan. Di peringkat global pertambahan penganut Kristian adalah sebanyak 200 juta atau 20% sejak 2001. Terdapat 2 mazhab utama dalam Kristian, Katolik dan Prostestant; tetapi World Christian Encyclopedia menyatakan terdapat 33,800 mazhab dalam agama Kristian. Majoriti dari pembahagian ini kemungkinan besar adalah pecahan dari kedua mazhab berikut, ditambah pula dengan mazhab yang terpisah secara eksklusif dari kelompok majoriti penganut dari kedua-dua mazhab seperti Eastern Orthodox dan Nauru Independent Church. Di Malaysia dianggarkan bilangan penganut Kristian seramai 234,0138,71 yang mewakili 9.1 % dari seluruh komposisi rakyat Malaysia.
Pada awalnya, ramai paderi Kristian menyebarkan agama mereka ke seluruh dunia secara individu. Dipelopori oleh St. Paul, kemudian diteruskan oleh beberapa nama besar dalam missionari Kristian. Antara lain, Gregory the Illuminator (Armenia), Ulfilas (German), Patrick (Ireland, Frumentus dan Ethopia), dan Nestorian Christian (Asia Tengah dan China). Misi-misi ini juga sebenarnya dikuatkan dengan kuasa politik. Constantine the Great sebagai contoh, bersama-sama dengan rakannya Licinius mengisytiharkan Kristian sebagai agama rasmi di dalam empayar Rom pada 313 AD.
Di rantau ini, penyebaran Kristian terhasil melalui kuasa kolonial seperti Portugis, 1511, dan Belanda, 1641 di Melaka. Bersama-sama dengan penaklukan Portugis, 8 orang paderi Katolik, seorang daripada mereka Fr. Domingo de Souza. Tiada rekod yang menunjukkan tahap kejayaan mereka dalam mengkristiankan masyarakat tempatan. Namun satu fakta menarik, Fr. Teixeria mendedahkan seorang kerabat diraja Johor telah memeluk Kristian seawal 1561, kemungkinan individu ini adalah yang pertama memeluk Kristian di Malaysia. Pada kurun ke 18, Socites des Mission Efranges de Paris (MEP) dan St. Joseph’s Society of Foreign Missionaries menghantar missionari-missionari ke rantau ini.
Pada tahun 2003, dianggarkan seramai 200 orang missionari yang bergerak di Semenanjung Malaysia. Pada tahun yang sama dianggarkan 4000 hingga 10,000 missionari di seluruh gugusan nusantara termasuk Sabah dan Sarawak.
Manakala populasi Muslim pula pada 2001, sekitar 1 billion, penganutnya adalah dominan di lebih 52 negara (berdasarkan statistik perbandingan populasi berdasarkan agama negara-negara dunia, oleh CIA) . Pada tahun 2009, penganut Islam dianggarkan seramai 1.57 billion. Mewakili 23% dari keseluruhan populasi dunia. Ini bermakna populasi penganut Islam menunjukkan pertumbuhan sebanyak 570 juta atau 57% lebih dari angka tahun 2001. Islam kini telah berkembang dengan drastiknya secara global termasuk di negara-negara maju seperti Britain , USA dan Jepun . Tidak syak lagi Islam menjadi agama yang paling pantas pertumbuhannya. Pertumbuhan ini mengatasi semua agama yang ada; malahan ramai pengkaji menjangkakan populasi Muslim akan mengatasi Kristian dalam beberapa tahun lagi. Masakini, Islam telah mendapat sambutan meluas di negara barat. Masyarakat Muslim Ahlu Sunnah wal Jamaՙah atau Sunni secara amnya terbahagi kepada 4 madzhab Fiqh; Syafiՙiyy, Malikiyy, Hanafiyy dan Hanbaliyy. Dari sudut ՙaqidah pula terbahagi kepada dua; Asya ՙirah dan Maturidiyyah. Di Malaysia, terdapat kira-kira 15, 532,354,676. Muslim yang mewakili 60.4% rakyat Malaysia.
Rasulullah memulakan dakwahnya secara rahsia di Makkah al-Mukarramah selama 3 tahun, kemudian baginda mula berdakwah secara terang-terangan. Pergerakan da՚wah Rasulullah semakin kukuh selepas peristiwa Hijrah dan penubuhan kerajaan Islam, Madinah al-Munawwarah.
Peluasan empayar Islam diteruskan oleh 4 khalifah dan sahabat utama yang digelar Khulafa‘ur Rasyidin, beberapa Futuhat (pembukaan wilayah baru) berjaya dilaksanakan. Islam kemudiannya menjadi empayar politik paling hebat dan berpengaruh dalam sejarah peradaban dunia. Islam berjaya mengatasi pengaruh Rom dan Parsi serta agama rasmi anutan mereka (Kristian dan Majusiyy). Da՚wah juga dikembangkan oleh para sahabat lain yang pergi ke wilayah baru, antara lain ՙAmr bin al-ՙAs dan ՙAbdullah bin Masՙud . Usaha da՚wah diteruskan oleh pemerintah Islam kemudiannya dengan penuh hemah, begitu juga oleh jutaan individu-individu pendakwah (Daՙiyy) ke seluruh pelusuk dunia.
Peluasan agama Islam diteruskan pula oleh Khulafa’ ar-Rasyidin, sebilangan siri-siri Futuhat (pembukaan wilayah baru Islam) berjaya dibuat. Pada tahap ini kerajaan Islam menjadi empayar politik terhebat yang pernah dicatatkan di dalam sejarah peradaban dunia. Islam berjaya mengatasi pengaruh dan dominasi Rom dan Parsi.
Usaha da՚wah disambung pula oleh generasi kepimpinan Muslim dan juga oleh jutaan individu Daՙiyy ke seluruh pelusuk dunia. Di zaman kegemilangan Islam, gerakan da՚wahnya telah merentasi China dan gugusan Nusantara. Sekarang Islam telah menjadi satu agama utama di dunia, malahan Islam berkembang pesat di negara-negara maju seperti Britain , USA dan Jepun .
Rujukan: Hanit Osman. 2010. Missionari dan Dakwah: Satu Perbandingan (belum diterbitkan).
Subscribe to:
Posts (Atom)