Sunday, March 28, 2010

Mujahadah

Maulana Ashraf Ali Thanvi menyatakan Mujāhadah adalah kunci kepada ibadah, Syari'ah dan jiwa agama atau ad-Din itu sendiri. Menurutnya lagi keseluruhan ad-Din kita ini adalah berdasarkan Mujāhadah. المجاهدُ من جاهدَ من نفسِهِ في طاعةِ الله “Mujahid adalah sesiapa yang berusaha dengan dirinya dalam mentaati Allah” (riwayat Baihaqi) Imām al-Ghazālī dalam Ihyā’ menyatakan Mujāhadah ialah usaha seseorang untuk menguasai jiwa atau nafsunya (supaya terarah kepada kebaikan) atau melawan kehendak nafsu itu sendiri. Contoh terbaik Mujāhadah adalah Mujāhadah Rasulullah sendiri. Walaupun baginda telah terjamin hidupnya di dunia dan akhirat tetapi baginda tetap berusaha memperbanyakkan ibadah. Dari Ummul Mukminin 'Ā‘isyah Rasulullah solat ketika Qiyāmullail sehingga bengkak kakinya, lalu 'Ā‘isyah bertanya kepada baginda kenapa perlu berbuat demikian sedangkan Allah sentiasa mengampunkannya, Rasulullah bersabda: (Hadis riwayat Bukhārī dan Muslim) أفلا أكون عبداً شكوراً “Bukankah aku merupakan seorang hamba yang bersyukur” Mujāhadah Rasulullah adalah sentiasa membaiki ibadat dan hubungannya dengan Allah bukan untuk mengubah sikapnya kerana baginda adalah Insān Kāmil dari segala aspek. Manakala dalam konteks kita sebagai individu awam Muslim, Mujāhadah ini melibatkan usaha memperbaiki jiwa supaya tunduk & taat kepada Allah sesuai dengan status kita sebagai hambanya. Mujāhadah dalam tazkirah ini melibatkan dua aspek, pertama Mujāhadah mengubah atau memperbaiki sikap dan jiwa yang negatif. Kedua, selain dari ibadat wajib, usaha menambah amalan dengan ibadat sunat. Dalam Mujāhadah aspek pertama, asasnya adalah melawan kehendak nafsu yang negatif dan hasutan syaitan. Kita juga seharusnya memohon rahmat Allah supaya dapat mengatasi kelemahan manusiawi dalam menguasai dan mengawal nafsu atau jiwa. Firman Allah (Yūsuf 12: 53): ...إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ، إِلاَّ مَا رَحِمَ رَبِّي، إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَحِيمٌ “Sesungguhnya nafsu )Ammārah( itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali (nafsu) yang dirahmati Tuhanku, sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun dan Maha Mengasihani” Syaitan juga adalah elemen terpenting yang merangsangkan jiwa atau nafsu untuk melakukan dosa. Syaitan penuh dengan tipu daya yang halus untuk menyesatkan anak Adam. Setiap perkara di dunia ini boleh dimanipulasi oleh syaitan untuk menjadi senjata mengoda manusia. Contohnya kekayaan, kepapaan, dan hiburan. Malahan ilmu juga dijadikan senjata syaitan untuk menghasut seseorang menjadi bongkak dan sombong (dengan ilmunya). Oleh itulah Ibnu Qayyim menyatakan sememangnya sukar untuk melindungi diri dari godaan syaitan. Untuk melindungi diri daripada godaan syaitan kita hendaklah menetapkan pendirian bahawa syaitan adalah musuh kita, musuh Allah dan manusia. Jadi dengan itu kita akan berjaga-jaga dan berhati-hati dengan tindak-tanduknya. ...وَلاَ تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ، إِنَّهُ, لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ “...dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang nyata bagi kamu.” (al-Quran. al-Baqarah 2: 168) Kita juga perlu banyak memohon perlindungan daripada Allah, firmanNya: وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ “Dan jika engkau dihasut oleh Syaitan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (al-Quran. al-A'rāf 7: 200) Tentang pencegahan dari godaan syaitan Imām al-Ghazālī juga berkata: “Dan manakala (untuk menangani) syaitan pula, cukup bagimu dari apa yang difirmankan oleh Allah Taʿāla kepada NabiNya Muhammad : وَقُلْ رَبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ. وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَنْ يَحْضُرُونِ (Dan katakanlah (wahai Muhammad): Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan. Dan aku berlindung kepadaMu, Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku.) Mukminūn 23: 77-79” Selain dari perintah memohon perlindungan kepada Allah; pengajaran jelas dari ayat al-Quran di atas adalah betapa pentingnya berhati-hati dengan hasutan dan godaan syaitan. Rasulullah sendiri diarahkan untuk memohon perlindungan dari Allah, apatah lagi kita sebagai manusia biasa. Aspek kedua Mujāhadah, menambah ibadat sunat selain dari sentiasa menjaga ibadat fardhu. Contoh ibadat sunat adalah seperti sembahyang sunat, Qiyāmullayl, puasa sunat, membaca al-Quran dan zikir. Ibadat-ibadat sunat ini akan menambah kekuatan jiwa seseorang Muslim. Contoh yang dipaparkan oleh Rasulullah adalah terbaik. Dalam kesibukannya memimpin, berdakwah dan berjihad, baginda tidak meninggalkan istighfār, puasa sunat dan Qiyāmullayl. Apa yang lebih mengagumkan baginda tetap melakukan pelbagai ibadat sunat tersebut walaupun kedudukannya telah pun terjamin di sisi Allah. Ada ulama’ lampau yang bersembahyang sunat sehingga 1000 rakaat sehari, tidur sangat sedikit, dan banyak berpuasa. Walau bagaimana pun, Imām Ghazālī menasihatkan supaya tidak terikut-ikut dengan amalan ulama salaf ini. (Baqarah 2: 286 & al-Hajj 22:78) لا يكلف الله نفسا الا وسعها "Allah tidak membebani seseorang melainkan yang terdaya olehnya" وَمَا جَعَلَ عَلَيكُم فِي الدِّينِ مِن حَرَجَ "…dan Allah tidak menjadikan agama suatu kesusahan" Perlu ada kesederhanaan dalam Mujāhadah, ikut kemampuan diri, amalan yang dibuat oleh ulama' terdahulu ini sesuai dengan keupayaan mereka dan sudah tentu tidak semestinya sesuai dengan keupayaan kita. Apa yang lebih penting adalah intipati pengajaran dan konsep hidup mereka, iaitu bersungguh-sungguh memperbaiki kualiti ibadat & kehambaan kepada & kerana Allah. Ibadat sunat juga hendaklah diamalkan tanpa mengabaikan hak diri sendiri dan orang lain, seperti keperluan nafkah hidup dan tanggungjawab kerja. إن للهَ عليك حقاًّ، وإنّ لنفسك عليك حقاًّ، وإنّ لأهلك حقاًّ، فاعط كلَّ ذي حقٍّ حقِّه. “Sesungguhnya Allah mempunyai hak ke atas dirimu, dan sesungguhnya kamu mempunyai hak ke atas dirimu dan ahlimu (keluarga) mempunyai hak ke atas dirimu, maka berikanlah hak-hak kepada mereka yang berhak.” (Hadis riwayat Bukhārī dan Muslim)

No comments:

Post a Comment