Monday, October 19, 2009

Profil Shaykh Dr. Jahid Sidek al-Khalidiyy

Shaykh Dr Hj Jahid Hj Sidek dilahirkan pada 11 Februari 1940M bersamaan 2 Muharam 1359H di Batu Pahat, Johor. Pendidikan awalnya ialah tamat darjah 6 Sekolah Kebangsaan, darjah khas sekolah agama Johor dan sekolah Arab Keluang, Johor. Beliau kemudiannya menuntut di Kolej Islam Klang hingga mendapat Sijil Tertinggi Kolej Islam pada tahun 1958-1963. Selepas itu beliau mumulakan karier sebagai guru di Sekolah Menengah Inggeris Jasin, Melaka pada 1964-1968. Pada tahun 1969- 1971 beliau melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya. Pada tahun 1972 pula menjadi guru di Sekolah Menengah Tengku Temenggong Ahmad Muar. Beliau menjadi pensyarah di Universiti Malaya pada 1974. Pada 1975 pula beliau mendapat ijazah Sarjana dari Universiti Malaya dalam bidang Usul Fiqh. Dilantik menjadi Prof. Madya di Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sastera, Universiti Malaya pada tahun 1992. Seterusnya dikurniakan ijazah Doktor Falsafah dalam bidang tasawuf pada tahun 1993. Beliau bersara pada akhir tahun 1995. Beliau pernah dijemput menghadiri majlis perjumpaan tariqat sedunia. Beliau juga menerima ijazah ilmiah dari Mufti Mesir, Shaykh Dr. Ali Jumuah. Shaykh juga giat menulis buku dalam pelbagai bidang ilmu-ilmu Islam. Antara karyanya adalah: 1. Shaikh Dalam Ilmu Tarikat 2. Kedudukan Qiyas Dalam Perundangan Islam 3. Berpawang Dan Bersahabat Dengan Jin Daripada Perspektif Islam 4. Membentuk Jiwa Sufi (Terjemahan Tanwirul Qulub, Shaykh Muhammad Amin al-Kurdiyy al-Khalidiyy 5. Strategi Menjawab Sejarah Islam 6. Tokoh Dan Peristiwa Penting Sejarah Islam 7. Dhiaul Iman Fi Thariq ar-Rahman (Terjemahan) Shaykh Dr Jahid juga telah menulis dan membentang 50 kertas kerja mengenai tareqat dan tasawuf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antaranya ialah: 1. Perkembangan Tarekat Naqsyabandiah Di Malaysia (Libya) 2. Kepentingan Tasawwuf Dalam Peningkatan Ilmu Dan Amal (Mesir) 3. Penyakit-Penyakit Hati: Punca dan Kaedah Rawatannya Menurut Prinsip Tasawwuf 4. Dhikrullah: Antara Sunnah Dan Bid’ah 5. Salah Faham Terhadap Shaikh Dan Murid Dalam Tarekat Tasawwuf 6. Hubungan Tasawwuf Dengan Sunnah, Kepentingan dan Sumbangan Tokoh-Tokoh Sufi Dalam Pembinaan Tamadun 7. Kedudukan dan Kepentingan Tarekat Dalam Islam Dorongan minat yang mendalam telah membawa beliau mempelajari dan beramal dengan tiga tarekat, iaitu Ahmadiyyah, Qadiriyyah dan Naqsyabandiyyah Khalidiyyah. Beliau menjadi Shaykh Mursyid dalam tariqat Naqsyabandiyyah Khalidiyyah. Murid-murid beliau terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat. Rumah suluknya ialah Madrasah Babul-Khairat di Johor Baharu dan Madrasah Manaratul-ilmi di Kuantan, Pahang. Beliau bergiat aktif dalam masyarakat sebagai pemimpin Islam setempat dengan usaha membangunkan hal ehwal agama Islam seperti surau, masjid dan sekolah agama. Beliau telah dilantik sebagai Nazir Masjid Nurul Yaqin Kg Melayu Sri Kundang 1988 – 2006 dan Pengerusi Sekolah Rendah Agama 1988. Usaha dan kegigihan beliau dalam pengislahan masyarakat direalisasikan apabila dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia (BUDI) yang telah mengembangkan sayap bergerak di seluruh Malaysia dengan sokongan ahli persatuan yang aktif dalam pelbagai aktiviti berbentuk pendidikan dan kemasyarakatan, badan NGO telah di daftarkan pada tahun 2006. Beliau juga adalah salah seorang ahli Jilsah Turuq Sufiyah Jabatan Mufti Negeri Sembilan. Shaykh Dr Jahid juga telah mengasaskan kaedah rawatan Islam yang dikenali sebagai Refleksologi Islam. Pusat rawatan atau klinik beliau dikenali sebagai Pusat Rawatan Islam Manarah (PRIM). Di bawah persatuan BUDI, Shaykh telah mengasaskan Istana Budi pada tahun 2009. Istana Budi memfokuskan program pemulihan dan rawatan pesakit-pesakit AIDS yang beragama Islam, buat masa ini terdapat lebih kurang 20 orang pesakit. Istana Budi ditempatkan di klinik PRIM. Beliau gigih menerangkan dan mempromosi tasawwuf dan tariqat ke seluruh tanah air. Beliau menyampaikan kuliah dan kertas kerjanya di seluruh negara terutamanya di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu. Rujukan Shaykh Dr. Jahid Sidek .2007. Membentuk Jiwa Sufi. Terjemahan. Selangor: Al-Falah Publication. N.A. 16 September 2009. Biodata Tuan Guru Dr. Hj Jahid. www.drjahid.com N.A. 24 September 2009. Profil Yang DiPertua BUDI. www.dakwahbudi.blogspot.com

No comments:

Post a Comment